“Konkusi Boleh Mengganggu Persiapan Fizikal, Mental Dan
Pencapaian Sukan Seseorang Atlet”
Ramai beranggapan bahawa sukan bercorak fizikal seperti ragbi, tinju
dan bola sepak mampu menyumbang kepada konkusi (concussion) apatah lagi apabila
pemain kerap berdepan dengan insiden pelanggaran, rempuhan atau berlaga baik
sesama pemain atau objek di padang.
Impak disebabkan konkusi mungkin tidak menyebabkan kecederaan luaran
seperti luka atau bengkak tetapi jika tidak ditangani dengan baik, ia mungkin
menjejaskan karier seseorang atlet.
“Konkusi adalah kecederaan otak yang menyebabkan gangguan terhadap fungsi otak,” demikian kata Pakar Perubatan Sukan Pusat Sukan Prestasi Tinggi, Bahagian Podium Institut Sukan Negara (ISN), Dr Azril Syazwan Mohd Ali.
Menurut Dr Azril, ia boleh berlaku apabila mekanisma kecederaan
memberi impak secara terus ke bahagian kepala atau tidak terus (melalui gegaran
dari bahagian badan yang lain).
Kecederaan ini menyebabkan simptom dan tanda fizikal tertentu,
lazimnya tidak melibatkan seseorang atlet itu pengsan dan mempunyai spektrum
kecederaan yang lebih luas.
“Konkusi boleh dikesan apabila terdapat simptom dan tanda fizikal
selepas impak kecederaan seperti gangguan ingatan, masalah imbangan badan atau
perubahan tingkah laku. Ujian imbasan otak selepas konkusi selalunya adalah
normal,” kata beliau.
Berikutan itu, masalah utama yang perlu diberi perhatian berkaitan kecederaan konkusi adalah:
Risiko kecederaan otak adalah serius dan boleh menyebabkan kematian
serta berpotensi meningkatkan enam kali ganda risiko kecederaan yang lain
sekiranya masih meneruskan aktiviti selepas mengalami konkusi.
Kadar kesederaan yang rendah di kalangan masyarakat untuk
mengenalpasti tanda-tanda konkusi apabila ia berlaku.
Kadar pengetahuan dan kemahiran yang rendah termasuk dalam kalangan
pengamal perubatan untuk menguruskan kecederaan konkusi.
Kesan jangka panjang yang menyebabkan potensi masalah neurologi
serius disebabkan konkusi berulang masih tidak diketahui secara mendalam.
Selain mengancam keselamatan dan kesihatan atlet, konkusi boleh
mengganggu persiapan fizikal, mental dan pencapaian sukan.
Apa yang pasti menurut Dr Azril, aktiviti sukan menyumbang satu
daripada lima kes kecederaan berkaitan konkusi yang membabitkan kemasukan ke
hospital.
“Hampir setiap sukan boleh menyumbang kepada kecederaan disebabkan
elemen sentuhan (contact) yang berlaku dalam mekanisma kecederaan sukan,”
katanya.
Jelasnya sukan paling berisiko untuk kecederaan konkusi membabitkan
sukan tempur (contoh tinju dan taekwondo), rempuhan ( American football dan
ragbi) dan berimpak tinggi (berkuda dan permotoran).
“Walaubagaimanapun, risiko kecederaan konkusi adalah lebih luas, bukan sahaja boleh berlaku semasa pertandingan malah boleh berlaku semasa sesi latihan. Malah, risiko kecederaan konkusi turut merangkumi semua peringkat umur atlet dan pelbagai keadaan penyeliaan permainan,” kata Dr Azril.
๐semoga bermanfaat๐
Jangan lupa Share๐
๐๐๐